TIADA TUHAN SELAIN ALLAH, MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH

TIADA TUHAN SELAIN ALLAH, MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH
Voting

::::: AHLAN WA SAHLAN WA MARHABAN BIKUM :::::

SaHaBaT BLoGGeR

AWARD UNTUK SAHABAT : TEGAKKAN PANJI ISLAM

AWARD UNTUK SAHABAT : TEGAKKAN PANJI ISLAM

::::: CENDERAHATI DARI GUA OTAI :::::

::::: CENDERAHATI DARI GUA OTAI :::::
SYUKRAN JAZIILAN LAKA...

"DOA ITU SENJATA ORANG BERIMAN"

"DOA ITU SENJATA ORANG BERIMAN"

FADHILATUS SHEIKH MISHARI AL-AFASY : SURAH AL-MULK

HADIAH TV DARI IJOKS2009.. .TERIMA KASIH

TUNTUTLAH ILMU - SUARA FIRDAUS

Suara Firdaus - Tuntutlah Ilmu.mp3
Download at rapidlibrary mp3 music
Rapid Library

PENANGAN ZIKRULLAH - SUARA FIRDAUS

 
Suara Firdaus Penangan Zikrullah.mp3
Download at rapidlibrary mp3 music
Rapid Library

Sunday, October 25, 2009

TAZKIRAH : SUAMI JANGAN LALAI DARI TANGGUNGJAWAB



Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
(At-Tahrim : ayat 6 )

Kemampuan sesorang itu memimpin diri dan ahli keluarganya ke jalan yang benar akan dapat mengelakkan dirinya dari kebinasaan (terjun ke dalam neraka). Jadi, kalau dia dapat mengelakkan dirinya dan ahli keluarganya dari terjun ke neraka, maka itulah bukti cintanya yang sebenar. Allah swt. telah berfirman dalam surah at-Tahrim yang maksudnya:

Allah swt menyuruh kita memelihara diri kita mentaati segala peraturan Allah yang telah diperintahkan samada perintah-perintah yang berbentuk fardhu ain, fardhu kifayah, sunat-sunat Muakkad dan Ghair Muakkad. Inilah bentuk-bentuk perintah Allah yang mesti kita taati dan patuhi. Semua amalan perintah ini hendaklah kita lakukan dengan ikhlas dan jujur dengan niat semata-mata kerana Allah dan bukan lain dari Allah.

Maksud 'Peliharalah diri kamu' itu bukan sahaja sekadar mentaati segala perintah Allah tetapi juga adalah menjauhi segala larangan Allah kepada diri kita seperti dosa-dosa besar, dosa-dosa kecil dan juga larangan yang mendatangkan makruh. Contoh-contah dosa besar seperti berzina, minum arak, makan riba, mencuri dan lain-lain. Manakala dosa-dosa kecil seperti melihat sesuatu yang diharamkan oleh Allah atau bergaul lelaki perempuan yang diharamkan oleh Allah dan sebagainya. Dalam perkara makruh juga perlulah dielakkan kalau kita hendak memelihara diri daripada seksa api neraka.

Allah swt. maksudkan 'Ahli keluarga kamu' itu ialah, isteri-isteri kita, anak-anak, orang-orang gaji dan sesiapa saja yang di dalam jagaan kita. Tanggungjawab kita kepada ahli keluarga ialah menjaga, mendidik, mengajar dan memimpin mereka dalam melakukan perkara-perkara sepertimana yang Allah tanggungjawab pada diri kita sendiri. perlulah disuruh anak isteri melakukan perkara-perkara yang berbentuk fardhu ain, fardhu kifayah dan perkara-perkara sunat yang lain. Wajib pula menghalang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah seperti berzina, mencuri, dedah aurat, mengumpat, hasad dengki, takbur, riak dan lain-lain lagi.

Jelaslah di sini bahawa peringatan Allah dalam memelihara diri lita bukanlah terhad kepada diri kita sahaja, ia adalah meliputi seluruh keluarga kita serta mereka-mereka yang berada di dalam jagaan dan keluarga kita. Kalau kita tidak memimpin dan mendidik ahli keluarga kita, kita masih lagi belum terlepas dari seksaan api neraka. Kerana Allah telah perintahkan, "peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu."

Sesungguhnya seorang hamba Allah itu diperhatikan di hadapan mizan atau neraca atau timbangan di hari kiamat nanti sedangkan bagi seseorang itu mempunyai amalan yang banyak seperti gunung besarnya. Tetapi setelah ditanya tentang bagaimana ia mengendalikan ahli keluarganya dan bagaimana ia mengusahakan harta yang didapati iaitu dari mana ia mendapatnya dan ke mana ia belanjakan. Setelah ditanya semunya sehingga habis semua amalannya yang banyak itu dan yang tinggal hanyalah dosa-dosanya sahaja.

Daripada hadis Rasulullah saw yang menunjukkan bagaimana amalan seseorang itu walau sebesar manapun akan hapus disebabkan ia tidak melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak-anaknya dan semua mereka yang berada di dalam jagaannya, maka berkatalah malaikat, bahawa inilah orangnya yang telah menghapuskan semua amalan kebajikan oleh ahli-ahlinya dan anak-anaknya semasa di dalam dunia.

Adalah diriwayatkan oleh setengah-setengah ulama bahawa sesungguhnya pertama-tama yang bergantung kepada seseorang lelaki itu ialah isteri dan anak-anaknya. Maka, memberhentikan akan dia itu oleh mereka di hadapan Allah dan berkata mereka itu kepada Allah, 'Wahai Allah! Ambil olehmu bagi kami dengan hakmu daripada lelaki ini. Iaitu selesaikan dulu hak kami dan kewajipan lelaki ini terhadap kami, sebab ia tidak mengajar kepada kami suatu hukum pun. Lelaki ini tidak menunjuk ajar kepada kami tentang hukum-hukum syariat dan hukum-hukum agama yang telah Engkau turunkan ke dunia. Oleh itu kami sekarang hendak menuntut hak kami. Kerana dialah kami jahil. Kami tidak kenal apa-apa melainkan makan minum dan rumahtangga kami sahaja. Hati kami gelap dan akal kami pun gelap dan hati kami juga buta. Dan lelaki ini telah memberi kami makanan daripada harta-harta yang haram. Dia menerima harta riba dan rasuah dan diberinya kami makan. Dia membeli barang-barang najis dan menyuruh kami makan. Sedangkan kami mengetahui pada ketika itu samada barang itu haram atau halal. baru hari inilah kami sedar. Oleh itu Wahai Tuhan, tahanlah ia dahulu, dan kami minta segala kesalahan yang ada pada kami serahkan padanya.

Maka pada ketika itu setelah anak dan isteri mengadu dan merayu kepada Allah, Allah menerima segala pengaduan kerana saksi-saksinya telah jelas. Dan kalaulah pada ketika itu kita masih cuba berbohong, maka setiap helai rambut kita, semuanya akan menjadi saksi. Setelah diadili setiap kesalahan yang diadukan oleh anak isteri itu, maka Allah membalas akan kesalahan itu dengan siksa yang amat pedih dan dahsyat walaupun kebajikannya banyak dan walaupun timbangan amalnya begitu berat sekali. Kesalahannya terhadap anak isteri kerana tidak menyampaikan seruan agama ketika di dunia hingga menyebabkan mereka jahil itu boleh menghapuskan semua amal kebajikannya. Akhirnya suami itu terjerumus sama ke dalam neraka.

Adapun salah satu daripada kebinasaan yang boleh menimpa kepada seorang suami sepertimana yang difirmankan di dalam Al Quran yang maksudnya:

"Wahai sekalian orang yang beriman, janganlah segala harta-harta dan anak-anak kamu cuba melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Barang siapa yang berbuat demikian itu, merekalah orang-orang yang rugi di akhirat kelak."

Firman Allah lagi yang maksudnya:

"Barangsiapa yang berpaling dari mengingatKu (Allah), maka hidup yang sesat sempitlah jadi baginya."

Ingatlah satu peringatan Allah kepada seorang suami agar suami-suami sedar bahawa harta-harta serta anak-anak isteri boleh melalaikan mereka daripada mengingati Allah atau khusyuk di dalam beribadah kepada Allah.

Di antara perbuatan mengingati Allah yang terpenting sekali ialah sembahyang. Kalau di dalam sembahyang kita asyik teringat bagaimana hendak mengumpul harta untuk memberi kemewahan dan kesenangan kepada anak isteri atau bagaimana hendak memujuk hati isteri supaya dia sentiasa gembira, maka jangan mimpilah di dalam perkara-perkara lain kita boleh ingat kepada Allah seperti ketika kita bekerja mencari rezeki, ketika kita mendapat kesenangan dan sebagainya. Dan yang paling menyedihkan ialah dalam usaha dia mengumpulkan harta-harta itu, dia tidak akan menghiraukan lagi tentang larangan-larangan Allah dan tidak memikirkan bagaimana hendak mendapatkan harta yang halal. Orang-orang seperti inilah yang akan di masukkan ke dalam golongan orang-orang yang membinasakan diri di sebabkan oleh anak dan isteri.

Dalam pada hati seseorang itu sentiasa bimbang untuk mendapat berita untuk anak dan isteri yang kononnya akan menjadi bekalan bagi mereka apabila dia telah mati nanti, maka kata ulama, orang seperti ini biasanya akan menjadi orang yang bakhil, lokek dan kikir. Apabila seseorang itu sudah bakhil, lokek dan kikir, inilah celaka yang paling besar yang boleh membinasakan dirinya. Bukan sahaja bakhil yang dimilikinya itu merupakan bakhil yang berkaitan kepada perkara yang menjadi wajib bagi dirinya, seperti mengeluarkan zakat dan membantu fakir miskin serta anak yatim.

Kalau hartanya telah menjadi begitu banyak, rasa takut dan bimbang lahir di dalam hatinya kalau-kalau dicuri orang, maka dia akan menyimpannya di dalam bank. Hasil dari simpanan itu, hartanya akan bertambah atau beranak-ranak kerana riba yang dibayar oleh bank. Dengan demikian akan bertambah lagi satu kecelakaan bagi dirinya. Lebih-lebih lagi celaka bagi dirinya, kalau dia hanya mengeluarkan bunga dari simpanannya itu untuk makan minum dan belanja anak isterinya. Jelaslah suami itu sendiri memasukkan najis ke dalam perutnya dan perut anak isterinya.

Lagi satu kebinasaan yang akan menimpa kepada seseorang suami itu sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ghazali ialah akibat daripada suami-suami yang tidak melaksanakan hak kepada anak-anak dan isteri. Mereka-mereka ini adalah terdiri dari suami-suami yang tidak berani menegur atau menunjuk ajar anak isterinya sehingga sanggup membiarkan mereka melakukan perbuatan yang melanggar syariat.

Perkara yang melanggar syariat yang boleh dilakukan oleh anak isteri adalah banyak sekali daripada perkara yang haram hinggalah kepada perkara yang makruh dan dari kemungkaran yang kecil-kecil hinggalah kepada kemungkaran yang besar-besar. Seorang suami itu boleh menerima kecelakaan, kalau anak-anak dan isterinya melakukan kemungkaran atau melanggar syariat seperti mengumpat, mengeluarkan kata-kata lucah, mendedahkan aurat, mendengar lagu-lagu yang mengkhayalkan atau anak-anak perempuannya atau isterinya memandang kepada seseorang lelaki yang bukan muhrimnya.

Begitu juga, syariat melarang keras suami tunduk dan menjadi hamba kepada isterinya. Kecelakaanlah bagi suami-suami yang mengikut cakap isterinya dengan ertikata cakap-cakap isteri yang melanggar hukum-hukum syarak.

Misalnya, di dalam soal poligami. Allah swt mengizinkan suami untuk berkahwin lebih dari satu iaitu dua, tiga dan empat. Syariat tidak mensyaratkan suami untuk mendapat keizinan isteri kalau hendak berkahwin lagi satu samada yang kedua, ketiga atau keempat. Kalaulah ada syarat-syarat yang menghendaki suami meminta izin daripada isteri-isteri untuk berkahwin lagi satu, ini adalah satu kecelakaan kepada suami kerana suami terpaksa tunduk kepada isterinya dalam hendak melaksanakan perkara yang dibenarkan oleh syariat.

Ertinya, kalaulah ada suami yang hendak berkahwin lagi satu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana terpaksa meminta izin kepada isterinya, suami telah menjadi hamba kepada isterinya. Di sini bukan pada suami sahaja yang berlaku kecelakaan itu, malah pada isteri pun demikian juga kalau isteri-isteri yang menghalang suami berkahwin lagi satu adalah menentang hukum syarak.

Seorang suami yang tidak berani menegur atau menunjuk ajar anak isterinya atau menjadi Pak turut, suami itu telah tunduk kepada hawa nafsu isterinya. Suami seperti ini, sebenarnya tidak dapat menunaikan hak terhadap isteri dan anak-anaknya, maka suami itu dianggap sebagai seorang yang dayus. Orang yang dayus tidak akan masuk syurga. maka tersuratlah di depan pintu syurga sepertimana firman Allah swt yang bermaksud:

"Engkau hai syurga haramlah atas segala lelaki yang dayus."

Inilah ancaman kepada seorang suami yang tidak dapat menunaikan hak terhadap isteri dan anak-anaknya, suatu ancaman yang datang dari Allah swt dan Rasulullah saw. Di dunia ini kita diancam tetapi bila di akhirat kelak kita tidak akan diancam lagi tetapi kita akan ditempelak. Allah akan tempelak kita sebagaimana firmannya yang bermaksud:

"Adakah tidak kami datangkan ke atas kamu Rasul-Rasul? Menerangkan kepada kamu ayat-ayat Kami, pengajaran-pengajaran Kami tentang suruh dan larangan. Kenapa kamu tidak suluh? Kerana apa kamu tidak terima? Kerana apa kamu tidak ikut? Meraka akan jawab, "Ya Allah! Rasul-Rasul sudah datang, Rasul-Rasul sudah terangkan dan Rasul-Rasul telah tinggalkan semua itu kepada kami. Tetapi kami lupa dan kami yang buta. "Kemudian di jawab Allah," "Apa boleh buat kerana sekarang ketetapan azab sudah berada, ketepatan azab sudah berlaku, ketepatan azab sudah tetap di atas kamu. Kamu akan terjun ke neraka."

Jelas sepertimana apa yang dikatakan oleh Imam Ghazali bahawa orang yang tidak mampu mengajar anak isterinya, tidak mampu menerangkan hukum-hukum Allah dan tidak mampu menyampaikan yang hak kepada anak dan isterinya, maka dialah orang yang menempah jalannya ke jurang kebinasaan iaitu terjun ke dalam neraka.

Kemudian menurut Imam Ghazali lagi, bahawa sesungguhnya kebinasaan yang terdapat bagi seseorang yang berumahtangga itu adalah sangat banyak dan sangat merata, hingga tidak dapat hendak diperkatakan satu persatu. Seseorang itu tidak akan dapat sejahtera daripada kebinasaan ini melainkan orang itu benar-benar mempunyai ilmu pengetahuan agama dan mempunyai hikmah dan kebijaksanaan dalam memimpin dan mendidik anak isteri di dalam rumahtangga. Dan orang itu pula adalah yang mendapat pimpinan Allah setelah dia benar-benar suami yang sentiasa berdoa dan memohon sungguh-sungguh kepada Allah agar Allah membantu dia dalam mendidik dan menakluki anak isterinya, agar dia benar-benar dapat menunaikan kewajipan-kewajipan yang telah diamanahkan Allah swt kepada anak dan isteri. Dan akan anak dan isteri pula sanggup menerima dengan lapang dada.

Dalam hal ini tunjuk ajar kita adalah dengan tujuan agar anak dan isteri kita dapat memiliki iman orang-orang saleh kerana apabila mereka dapat memiliki iman ini, mereka juga kelak akan beramal sebagaimana orang saleh beramal. Dan sekiranya kita tidak berupaya menunjuk ajar mereka, serahkan kepada tok-tok guru.. Ajak mereka mengaji Fardhu ain sama-sama. Sebab ini adalah kewajipan kita yang bukan saja tinggal di dunia saja tetapi akan berkait hingga ke akhirat. Di sana kita sebagai suami akan ditanya dan akan diungkit lagi oleh Allah swt.


والله اعلم

3 comments:

zai said...

Salam Saifun,

Harap2 semua lelaki yg bakal berkahwin dan yang telah berkahwin dapat membaca tazkirah ini kerana antara salah satu sebab rumahtangga yg gagal berfungsi dengan baik adalah kerana kegagalan suami utk bertindak sebagai nakhoda yang baik, sering mengemudi kapal tanpa melihat arah kompas kehidupan sptmana akhlak Rasulullah SAW sebagai petunjuknya.

Kak Zai yakin diantara kegagalan rumahtangga zaman ini adalah kerana suami gagal menjadi pembimbing dan berkahwin semata2 berlandaskan nafsu dan kecantikan semata dan tidak pula mementingkan agama.

Mudah2an tazkirah ini memberikan banyak kesedaran kepada mereka yg memerlukan...kak zai sendiri letih melihat penceraian yg semakin bertambah dari hari sehari..

SaiFuN said...

Salam Kak Zai... :)

Terima kasih ulasan yang diberikan.

Tanggungjawab suami dan isteri sebenarnya sama-sama besar. Kalau tak de tolak ansur dalam urusan rumahtangga ditambah pula kurang ilmu agama dan kekeluargaan.... rumahtangga yang dibina sukar bertahan lama..

Saya pernah praktikal di Mahkamah Syariah sewaktu ambil Diploma Kehakiman & Guaman Islam.. kes perceraian terlalu banyak... kalau tak salah saya 300+ kes di Mahkamah tersebut untuk setahun. Kalau sebuah mahkamah dah 300+ kes... bayangkan mahkamah syariah di Malaysia ada berapa banyak dan berapa jumlah kes yang direkodkan. Kebanyakannnya berpunca akibat lari dari tanggungjawab..

Unknown said...

salam.
saya minta izin untuk ambil serba sedikit isi-isi dalam artikel ni untuk dimuatkan dalam penulisan saya.
url website ni saya muatkan di bahagian rujukan.

Related Posts with Thumbnails